Sunday 30 September 2012

Mengapa Orang Melayu Menentang Malayan Union

Sebab-sebab Orang Melayu Menentang Malayan Union

Pelaksanaan Malayan Union telah menimbulkan penentangan orang Melayu terhadap sistem pemerintahan tersebut. Antara sebab penentangan ialah tindakan Sir Harold MacMichael yang mengugut raja-raja Melayu, contohnya Sultan Badlishah dari Kedah. Sultan turut tidak diberi masa yang secukupnya untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri. Orang Melayu juga menentang
kerakyatan mudah kepada kaum imigran secara jus soli. Status peribumi orang Melayu juga terjejas. Orang Melayu mempunyai kedudukan yang sama taraf dengan kaum pendatang.


Sir Harold MacMichael Mengugut Sultan

Pada 1 April 1946, British telah mengisytiharkan pembentukan Malayan Union di Kuala Lumpur. Pengisytiharan tersebut telah mendapat bantahan daripada orang Melayu, terutamanya terhadap SirHarold MacMichael. Beliau tidak memberi masa yang secukupnya kepada raja-raja Melayu untuk berfikir dan berbincang mengenai Malayan Union. Contohnya, Sultan Perak tidak diberi masa yang
cukup untuk membincangkan Malayan Union dalam Majlis Mesyuarat Negeri.
Sir Harold MacMichael juga mengugut sultan untuk diturunkan takhta sekiranya baginda enggan menandatangani perjanjian Malayan Union. Ini berlaku terhadap Sultan Badlishah dari Kedah.


Kesan-kesan Pelaksanaan Malayan Union

Antara kesan daripada pelaksanaan Malayan Union ialah telah berlaku perubahan status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada negeri jajahan. Kuasa raja-raja Melayu juga hilang walaupun mereka masih berhak membincangkan soal agama Islam, tetapi zakat fitrah dipungut atas nama Gabenor Malayan Union.

Selain itu, kedudukan orang Melayu kini setara dengan orang dagang berdasarkan kerakyatan sama rata atau jus soli. Dasar terbuka British ini dilihat akan mengancam status quo orang Melayu sebagai penduduk peribumi. Jumlah orang Melayu juga menjadi kecil dengan kemasukan orang dagang. Selain itu, ekonomi dan pendidikan orang Melayu juga amat mundur dan jauh ketinggalan berbanding dengan orang dagang yang diberi perhatian oleh British. Orang Melayu juga bimbang akan kehilangan warisan tamadun yang telah dibina oleh kerajaan Melayu seperti pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Oleh itu, orang Melayu bangun mempertahankan status quo mereka. Gabungan 29 buah pertubuhan Melayu bangun menentang Malayan Union menunjukkan wujud perpaduan kebangsaan untuk menentang Malayan Union.


Isu Jus Soli

Jus soli merupakan isu yang menjadi tuntutan orang dagang terhadap kerakyatan di Tanah Melayu. Isu ini telah dibantah oleh orang Melayu. Isu tersebut ialah pemberian hak kerakyatan yang sama rata kepada semua kaum di Tanah Melayu. Perjuangan ini dianggap boleh melemahkan lagi kedudukan orang Melayu. Selepas perbincangan dan rundingan, raja-raja Melayu bersetuju menerima kerakyatan
jus soli. Kerakyatan jus soli diterima dengan bersyarat, iaitu orang bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Seterusnya suruhanjaya ini juga menyetujui agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu.

No comments:

Post a Comment