Tuesday 10 July 2012

Contoh Karangan Autobiografi


Aku Sebuah Kereta


Nama aku Wira. Aku ialah sebuah kereta buatan Malaysia. Aku dibuat daripada besi, plastik, getah dan kaca. Aku mempunyai badan, stereng, kerusi dan roda. Stereng, brek dan pemacu aku berfungsi sebagai alat mengawal kenderaan.
Aku dibuat di sebuah kilang kenderaan di Shah Alam. Setelah semua komponen badanku lengkap dipasang, aku diuji dari segi ketahanan dan kualiti. Setelah siap diperiksa, aku dihantar ke pusat pameran jualan kereta. Sampai sahaja di pusat pameran menjual kereta, aku dan kawan-kawanku dipamerkan di ruang yang disediakan.
Badanku berwarna merah dan berharga RM55,000. Sejak hari itu, aku dan kawan-kawanku menunggu untuk dibeli oleh pelanggan. Pada suatu hari, datang seorang wanita yang hendak membeli sebuah kereta untuk kegunaannya sendiri. Dia tertarik akan warna aku. Setelah meneliti keistimewaan aku, dia pun membeli aku.
Kemudian, aku dipandu pulang ke rumahnya. Dia menggunakan aku hampir setiap hari tanpa henti. Saban hari aku digunakan oleh tuanku untuk pergi bekerja dan menghantar anaknya ke sekolah. Pada waktu malam pula, aku digunakan oleh anak lelakinya untuk bersiar-siar dengan kawan-kawannya. Pada ketika inilah aku berasa sangat tidak selesa kerana diperlakukan secara kasar oleh anaknnya.
Pada suatu malam, anak lelakinya menggunakan aku untuk menghadiri jamuan hari jadi kawannya. Aku dipandu dengan laju melebihi had yang dibenarkan oleh pihak berkuasa iaitu 130 km sejam. Aku gagal dikawal lalu terbabas dan terlanggar sebatang pokok. Badanku remuk teruk dan anak tuanku terkorban.
Akhirnya, aku tidak dapat digunakan lagi. Aku dihantar ke kedai menjual besi buruk. Begitulah riwayat hidupku sebagai sebuah kereta.


 Aku Sebuah Radio




Nama aku HangatSuria. Aku ialah sebuah radio. Aku dibuat daripada plastik dan besi. Aku mempunyai beberapa butang yang boleh dilaras untuk mendengar siaran radio di seluruh negara. Di samping itu, aku juga berfungsi sebagai alat pemain cakera padat.
Aku diproses di sebuah kilang elektronik. Setelah semua komponen aku lengkap diisi, aku diuji dari segi ketahanan dan kualiti. Setelah siap diperiksa, aku dibungkus dan dihantar ke kedai menjual peralatan elektrik.Sampai sahaja di kedai menjual peralatan elektrik, aku dan kawan-kawanku dipamerkan di rak kaca yang disediakan.
Aku berharga RM115. Sejak hari itu, aku dan kawan-kawanku menunggu untuk dibeli oleh pelanggan. Pada suatu hari, seorang wanita datang untuk membeli sebuah radio untuk anaknya. Dia tertarik akan rupa bentuk aku. Setelah meneliti keistimewaan aku, dia pun membeli aku.
Kemudian, aku dibawa pulang ke rumahnya. Aku dihadiahkan kepada anaknya yang bernama Amri. Amri gembira kerana dapat memiliki aku. Amri menggunakan aku hampir setiap hari tanpa henti. Aku dibuka dengan suara yang kuat sehingga membingitkan telinga abangnya, Ifran yang sedang belajar.
Pada suatu hari, kesabaran Ifran tidak dapat disekat lagi. Ifran sangat marah karana Amri membuat bising dengan membuka suara aku dengan kuat. Dia menegur perbuatan Amri itu tetapi tidak diendahkan. Semasa mereka sedang bergaduh, Ifran dengan tidak sengaja telah menolak aku ke lantai. Aku terhempas ke lantai lalu pecah. Banyak komponen-komponen di dalam badanku tercabut.
Akhirnya, aku tidak dapat digunakan lagi. Aku berasa sangat sedih.Aku telah dibuang ke dalam tong sampah. Begitulah riwayat hidupku sebagai sebuah radio.


Berdasarkan dua contoh karangan di atas, buatlah karangan:
1. Aku Sebuah Motosikal
2. Aku Sebuah Televisyen


Panjang karangan tidak melebihi 150 patah perkataan.
Selamat Menjawab....

1 comment: